Entah kenapa, aku teringat akan sepupu aku yang seorang ni. Dia muda setahun dari aku. Masa sekolah menengah dulu, dia pernah tinggal dengan keluarga aku sekejap. Kami pergi sekolah sama. Sepupu aku ni cantik orangnya. Setelah kami dewasa, kami jarang jumpa. Akhirnya kami terserempak dan terkejut apabila kami sama-sama menunggu kehadiran anak pertama kami. Sebulan kemudian, aku diberitahu dia telah ditahan di hospital kerana masalah kandungan. Masa itu, bayi dalam kandungan itu baru 7 bulan. Dia kelihatan tenang. Bayi pertama (lelaki) disambut dengan gembira walaupun masih 7 bulan. Aku pula, masih lagi menunggu kehadiran bayiku.
Aku amat terkejut apabila diberitahu pula yang anak sepupu aku itu mengalami down syndrome. Aku tahu, dia sudah semesti sebak tetapi dia amat sabar dan menerima kurniaan Allah dengan tenang dan gembira. Dia menjaga anak sulungnya itu dengan penuh kasih sayang. Setiap hari raya, apabila aku mengunjungi makcik aku iaitu ibu sepupu aku itu, aku akan berjumpa dengan anaknya. Dia amat sayang pada anaknya walaupun dia sudah punyai anak-anak yang lain. Layanan yang baik diberikan kepada anaknya itu.
Dua tahun lepas aku terima satu panggilan telefon. Aku diberitahu anaknya yang sulung itu meninggal dunia. Anak yang sebaya dengan anak aku yang sulung telah meninggalkan ibu yang sangat menyayanginya. Aku bergegas ke rumah makcik aku setelah menerima berita itu. Semua ahli keluarga berkumpul dan semua urusan selesai dengan baik. Aku cuma mampu memeluk sepupu aku itu dan dia kelihatan tenang akan ketentuan yang diberi padanya. Aku tahu dia berasa puas dapat bersama dengan anaknya walaupun cuma 24 tahun!
Radford Grove Lane, Nottingham.
***