September 22, 2011

Surat Untuk Mak


Assalamualaikum




Mak,


Dah lama saya tidak menulis pada emakkan! Maaf pada mak jika saya tidak sempat untuk berutus. Saya sentiasa ingat pada mak dan saya sentiasa doakan untuk mak. Tidak lupa pada abah jua!


Raya lepas saya dan anak-anak sambut dengan meriah sekali. Yalah, beraya di Malaysia semula. Tahun lepas agak suram sikit raya kerana saya beraya bersama tiga anak di England. Tapi saya tahu anak-anak yang lain di Malaysia ketika itu menyambut raya dengan gembira. 


Saya amat bersyukur kerana dapat ziarah pusara mak dan abah tempohari. Terlintas juga di hati saya yang saya ingin berada di sisi mak dan abah nanti. Di tempat yang sama. Macamana? Boleh tak, mak?


Ya, mak! Saya sudah pun mengajak semua anak-anak untuk ziarah mak setiap raya tetapi saya tak tahu mana silapnya hinggakan ada anak yang lupa untuk ziarah mak dan abah. Sedih jugakan, mak! Saya bayangkan bila saya bersama mak dan abah nanti, anak-anak lupa untuk ziarah saya. Mesti rumput liar yang akan bersama saya nantikan!


Sejak saya pulang dari England tempohari, saya banyak rasa berbeza berbanding dengan sebelum saya pergi. Saya rasa saya lebih banyak rasa tenang dan menghadapi segala dengan keadaan lebih tenteram. Agaknya kerana usia saya kot, mak. Memang dulu pun mak selalu pesan untuk berpijak di bumi nyata supaya selalu ingat pada diri akan kehidupan yang sementara ini. 


Memang betul kata mak tu! Saya akur. Tapi kadangkala saya terikut perasaan juga dan membuatkan saya kesal selepas itu. Syukur kini saya sudah kurang itu semua, mak. Saya lebih banyak berdiam dan tumpukan perhatian pada anak-anak dan kerja tapi yang utama saya harus bersedia untuk bertemu mak dan abah. Tidak begitu, mak!


Sejak kebelakang ni saya selalu mimpi akan mak. Tapi mak tak bersuara. Mak cuma senyum pada saya. Saya gembira bila dapat bermimpi yang saya bersua dengan mak. Mak nampak lebih kecil. Tapi mak tetap cantik. 


Ya, mak. Saya mimpi juga akan abah. Abah yang pendiam tu. Dalam mimpi sudah tentu abah tidak akan bersuara. Tapi abah tampak seperti dulu juga. Kurus, tinggi, putih dan sentiasa kemas. Memang sama padan dengan mak yang cantik, kecil dan comel. Tapi saya tak pernah mimpi akan adik, mak. Entah kenapa. 


Mungkin kerana saya tidak pernah tengok adik sebelum ini. Masa di pusara tempoh hari, saya tidak jumpa akan adik. Ateh cakap, adik ada di tepi pagar tapi saya tidak sampai ke situ. Saya minta maaf banyak-banyak mak sebab tidak jenguk adik. Kakak apalah saya ni ye, mak.


Mak tahu, cucu mak si Widad tu, dapat keputusan yang cemerlang dalam GCSE O-Level baru-baru ni. Memang saya sangat gembira, mak. Kalau mak ada sini, sudah tentu mak akan bangga. Widad ni sebenarnya mempunyai perangai yang 'blur' sepanjang masa tapi berkat galakan dari Aliaa, Aiman, Maisarah, Muhammad dan berkat selalu bergaduh dengan Alim, dia berjaya membuktikan yang dia tidak selalunya 'blur'. 


Tapi bukan Widad sahaja yang mak akan bangga kerana Aliaa sekarang ni sudah dalam tahun 2 buat PhD. Tak lama lagi mak akan dapat cucu pertama yang peroleh doktor falsafah dalam bidang engineering. Ya mak, saya aje yang sebut Aliaa ni dalam bidang engineering. Saya memang mengharapkan dia dalam bidang ni.Sedangkan Aliaa selalu cakap yang dia dalam bidang geomatic. Tapi bukan ke dia ambil geomatic engineering, jadi mestilah engineerkan.


Mak pun tahu yang mak sudah ada satu cicit. Aiman dan Miza ada seorang anak. Lana nama dia. Sangat comel dan rupa dia memang sebijik muka Aiman. Ada ala-ala cina dan sememang dari muka abah. Tapi abah ni cina moden. Hidung mancung. Tapi aiman taklah hidung mancung. Mesti ikut saya tu, mak. 


Maisarah masih belajar lagi, mak. Lagi setahun siapkan bachelor dia tu. Nanti dia kena sambung hingga ke peringkat PhD jugak, mak. Maisarah yang selalu temankan mak untuk berjalan ke wednesday market masa di England dulu tu. Mak mesti ingatkan! Yang selalu berkepit dengan mak kehulu dan kehilir. 


Muhammad pun dah  masuk universiti, mak. Dia ambil jurusan computer science. Nampak macam dia gembira dengan kursus tu. Alim, cucu mak yang bongsu ni pulak, asyik stress je. Baru umur 12 tahun dah kenal apa itu stress. Entah dapat dari manatah, mak. Baru ambil UPSR dah tak tentu arah. Kelmarin dia telefon saya dan tanya, kalau dia tak dapat 5A, sekolah mana yang dia harus pergi. 


Saya pun hairan kerana, masa saya kecil dulu, langsung tak terfikir akan hal tu. Saya rasa kerana dia tengok kakak dan abang sudah masuk universiti dan masing-masing belajar hingga ke peringkat yang tinggi. Nanti saya tarbiahkan dia, mak.


Saya dah jarang keluar rumah, mak. Bukan keluar sangat pun sebelum ni tapi saya sudah jarang buat moonlighting. Mungkin dah tak berdaya. Tahun ni saya berumur 50 tahun. Dah setengah abad dah ni. Tapi dah nampak ciri-ciri tidak larat dalam diri saya mak. Asyik sakit memanjang. Tapi saya gagahkan juga. Bukan sakit teruk pun. Setakat sakit urat je pun. Ni mesti saya makan tak betulkan, mak. 


Sambil saya cerita ni, saya terbayangkan yang mak berada di depan saya. Tentu kita akan berbual sambil ketawa. Dah lama saya tak pegang tangan mak. Tangan mak yang comel dan berkedut tu. Bukan apa, bila saya tengok tangan saya sekarang, memang sudah berkedut pun. Macam tangan mak. Mesti kita akan ketawa bila tengok tangan masing-masingkan. 


Hari ni hari khamis. Malam nanti saya akan bacakan Yasin untuk mak dan abah. Ya. Saya tak pernah lupa akan mak dan abah. Tapi mak tahu, apa yang mak alami dulu, saya alami juga. Memang kena tabahkan, mak. Kena banyak bersabar dalam hidup ni. 


Mak, saya pergi dulu. Nanti saya akan bercerita lagi. Saya tahu saya memang rindu pada mak dan abah sentiasa. Rindu nak salam mak. Rindu nak peluk mak. Rindu nak cium pipi mak. Rindu nak sembang dengan mak. Rindu nak ketawa dengan mak. Rindu nak tengok abah yang senyum sinis bila cucu datang. Rindu nak dengar suara abah. Rindu segala.



Saya mohon maaf, mak. Saya mohon maaf, abah. Saya doakan mak dan abah ditempatkan bersama orang yang beriman. 




Salam rindu dan sayang.


Saya




***