March 31, 2011

Kawan Aku



Kawan aku pernah berbisik secara kuat pada aku, 'Pijaklah di bumi nyata. Apa yang ada di depan mata inilah nyata'. Aku terfikir. Aku memang buat sedemikian tapi kadangkala aku sendiri tertipu dengan suasana yang ada. Atau aku yang menipu? Aku masih lagi berfikir.


Kawan aku berkata lagi, 'Senyum selalu tapi kenalah iklas.' Aku terfikir walaupun aku terkedu seketika. Memang aku selalu senyum walaupun senyuman aku kadangkala senget sedikit tapi aku tak tahu adakah aku ini ikhas atau sememangnya aku payah untuk tersenyum walaupun aku ingat aku sudah tersenyum. Aku masih tersenyum ni.


Kawan aku berbisik, 'Kadangkala dalam ramai-ramai kawan ni, ada satu yang boleh dijadikan sebagai 'soul mate'.' Aku kurang setuju sebab dalam masyarakat nan Melayu ini, no such thing as 'soul mate'. Mungkin aku tiada tapi perkataan ini sangatlah janggal dalam kalangan so called dunia aku sendiri. Tapi aku masih angguk jika ada yang mempunyai 'soul mate'. 


Kawan aku berbisik lembut, 'Kalau jumpa hantu, ludah ke belakang'. Aku terbeliak biji mata seketika kerana aku rasa, kalau jumpa hantu memang tak sempat nak telan air liur pun malah air liur pun kering kot! Jadi sila abaikan jumpa hantu. Tak kiralah hantu mat saleh di sini ke!


Kawan aku menjerit dari jauh, 'Kalau kau banyak duit, hulurkanlah pada aku di sini.' Aku cuba jerit pada kawan aku tu, 'Boleh je, nanti lepas kita jual semua karipap ni di pasar malam'. Dia tersengih.


Kawan aku berbisik lagi, 'Kalau setiap kali jumpa mak, salam dan cium tangan jangan lupa'. Aku angguk sambil mengesat air mata. Aku memang buat begitu tapi aku rindu untuk buat begitu lagi. 


Kawan aku berbisik sambil mengalirkan air mata,  'Kau maafkan aku ya. Aku banyak buat salah pada kau. Maafkan aku!'. Aku sebak, mengangguk lalu membaca ayat suci Al-Quran dan seketika itu, kau pergi tinggalkan aku jua. 







Radford Grove Lane, Nottingham.

***